Pulau Batu Puteh Jatuh ke Tangan Singapore

Akhirnya Pulau Batu Putih jatuh ke tangan Singapura! Malaysia hanya dapat middle rocks. Adeyh.. Memang x patut la keputusan tu. Kalau ikutkan dalam peta, Pulau Batu Putih tu memang jauh dari Singapura dan dekat dengan Johor. Seronok la Singapore dapat luaskan laut die. Boleh la diorang tambak lagi. hurm.. Kat bawah ni map pulau batu putih, middle rocks dan south ledge beserta artikel lanjut.

pulau batu putih map

Oleh Jundullah
Keputusan siapa pemilik Pulau Batu Putih yang akan diumumkan esok pada 23 Mei 2008 (Jumaat) oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh semua rakyat Malaysia dan Singapura.

Krisis antara kerajaan Malaysia dan Singapura dalam membuat tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih seluas 0.2 hektar yang sebesar dua padang bola sepak itu adalah krisis yang memakan masa hampir 28 tahun.

Selama itu jugalah kedua-dua jiran ini bertegang urat dan leher dan sampai satu masa yang tegang bila mana dikhabarkan kedua-dua negara hampir berperang kerana adanya dakwaan pencerobohan.
Malaysia mula menuntut pulau tersebut pada tahun 1979 ketika menerbitkan peta rasmi baru, yang memasukkan Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) dalam perairan laut wilayahnya. Manakala jarak Pulau Batu Puteh ini adalah jauh dari Singapura iaitu lebih dari 12 batu nautika. Malaysia mengatakan bahawa apabila Kesultanan Johor menyerahkan Singapura dan 19 km sekeliling (10 batu nautika) kepada pihak British pada tahun 1824, penyerahan ini tidak termasuk Pulau Batu Puteh. Sultan Johor hanya memberi kebenaran kepada pihak British untuk membina rumah api di atas pulau tersebut pada tahun 1844. Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) terletak 46 km (25 batu nautikal) dari Singapura; dan 14.3 km (7.7 batu nautikal) dari Johor.
Pihak Singapura pula hanya diberikan kebenaran mengurus rumah api bagi kepentingan industri perkapalan Singapura yang kurang penting bagi pihak Malaysia pada masa itu. Ini memandangkan tiadanya pelabuhan di Johor pada masa tersebut berbanding masa kini dengan wujudnya Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor.
Singapura pula mengemukakan dakwaan bahawa mereka telah menguasai pulau tersebut semenjak 1840-an tanpa sebarang tentangan oleh pihak Malaysia. Pulau Batu Puteh, Middle Rocks, dan South Ledge penting sebagai rumah api dan tanda arah di laut.

Pendirian Malaysia
Hak milik Pulau Batu Puteh menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura. Sebelum 1965, Singapura merupakan sebahagian dari Malaysia tetapi disingkirkan oleh Tunku Abdul Rahman yang menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama selepas PAP mungkir perjanjian yang dipersetujui bagi tidak bertanding di Malaysia.
Pelbagai bukti seperti peta dan dokumen berdasarkan latarbelakang sejarah dan prinsip undang-undang antarabangsa seperti penemuan, pemisahan, pertambahan, serahan, serta peraturan “uti possidetis” iaitu sempadan negara-negara baru merdeka berdasarkan sempadan wilayah jajahan lama, kesinambungan dan kesamaan sempadan.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan anggota Dewan Undangan Negeri Johor diberi taklimat oleh Wisma Putra dan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar pada 20 Ogos 2006. Malaysia sebagai sebuah negara yang matang terhadap proses mahkamah akan menerima dengan baik sebarang keputusan yang akan ditetapkan oleh ICJ.
Alasan sejarah
Istilah Malaysia hanya wujud pada 1963. Sebelum itu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya. Dari 1402 – 1511 dikenali dengan nama kesultanan Melaka. Apabila British menjajah, ia dikenali sebagai Negeri-negeri Selat (Strait Settlement) .
Singapura yang dikenali sebagai Temasik pernah dijajah oleh kerajaan Siam melalui pemerintah Tamagi. Parameswara yang lari dari Palembang telah singgah sekejap dan menukar nama Temasik kepada Singapura. Parameswara telah mengasaskan Empayar Melaka, merupakan kesinambungan Empayar Srivijaya di Palembang.
Apabila Empayar Melaka runtuh pada 1511 oleh Portugis, Empayar Johor-Riau-Lingga telah ditubuhkan oleh Sultan Alauddin Riayat Shah pada 1528. Logiknya Pulau Batu Puteh dalam lingkungan pentadbiran Empayar Johor-Riau-Lingga ini.
Alasan Malaysia berdiam diri
Singapura banyak berhujah tentang sikap kerajaan dan rakyat Malaysia yang berdiam diri. Taktik ‘pengantin perempuan Melayu’ ini digunakan oleh Singapura secara habis-habisan. Rakyat dan kerajaan yang bersuara dan membantah dianggap mendapat hak yang lebih. Sebelum 1979 memang Malaysia tidak pernah ‘berdetik’ tentang pembinaan dan pentadbiran Rumah Api Horsburgh ini.
Oleh kerana Malaysia sebagai ‘anak tiri’ British yang pasif sedangkan Singapura ‘anak angkat’ British yang agresif, Singapura mendakwa berhak menjadi pewaris sah pulau-pulau peningalan Empayar British itu. Dalam sistem demokrasi Barat, kumpulan yang banyak bersuara akan mendapat lebih banyak.
Setakat pacak dan mengibarkan bendera tidaklah bermasalah sangat bagi Malaysia. Empayar British dan Syarikat Hindia Timur Inggeris pernah mengibarkan bendera mereka. Singapura juga mengibarkan bendera Singapura di pulau Batu Putih. Malaysia juga pernah mengibarkan bendera Malaysia di Woodland, Singapura dan di stesen keretapi Tanjung Pagar.
Alasan pentadbiran Rumah Api Horsburgh
Rumah api yang khusus untuk membantu pelayaran kapal dagang di Pulau Batu Puteh tidak diperlukan pada zaman Melaka atau zaman kerajaan Johor-Riau. Tetapi rumah api Tanjung Tuan di sempadan Melaka-Negeri Sembilan telah wujud sekian lama untuk membantu kapal berlabuh di Pelabuhan Melaka. Bukit Melaka (Bukit St. Paul) sendiri mempunyai ‘rumah api’.
Kerajaan Portugis dan Belanda di Melaka tidak pernah membina rumah api di Pulau Batu Puteh. Istilah ‘Pedra Branca’ merupakan istilah Portugis kerana ahli pelayaran Portugis memang aktif dan bijak dalam aktiviti pemetaan / kartografi seluruh dunia.
Hanya kerajaan Negeri-negeri Selat yang merasakan keperluan membina rumah api di Pulau Batu Puteh mulai 1847. Banyaknya kemalangan kapal dagang dan aktiviti lanun yang berleluasa di kawasan itu memerlukan sebuah rumah api dibina. Jika tidak lebih banyak kapal dagang akan terlanggar batu karang sekitar Pulau Batu Puteh.
Pentadbiran dan tindakan Singapura di Pulau Batu Puteh sejak pembinaan Rumah Api Horsburgh oleh Kapten James Horsburgh dari Scotland, British pada 1847-1851 tidak dibantah oleh kerajaan negeri Johor / Empayar Johor-Riau. Diam tidak beerti setuju dan mengiktiraf pulau itu hak Singapura. (Bagaimanapun pembinaan dan pengurusan rumah api Horsburgh hanya dengan kebenaran Sultan Johor pada 1844.)
Singapura membina tapak pendaratan helikopter pada 1992 dan rumah radar pada 1989 di Pulau Batu Puteh dengan tujuan mengawal kegiatan lanun. (Semua pembinaan selepas 1979 adalah dibantah secara rasmi oleh Kerajaan Malaysia.)
Surat pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 1953 menyatakan kerajaan negeri Johor tidak membuat sebarang tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh yang ditadbir Singapura ketika itu. (Perlembagaan Malaysia telah menetapkan kerajaan negeri tidak berkuasa membuat perjanjian dengan kerajaan luar melainkan melalui kerajaan pusat.)
Alasan empayar
Jelas sekali Portugis, Belanda dan British menggunakan istilah pulau Pedra Branca untuk pulau Batu Puteh. Dalam hikayat Melayu lama, tidak pernah muncul nama pulau ini kecuali nama Temasik, nama lama Singapura atau Singapore sekarang. Singapura amat bergantung bukti, dokumen, surat-menyurat, pentadbiran pulau itu oleh Empayar British.
Secara analogi, jika Selat Tebrau pernah ditadbir oleh British, apakah Selat Tebrau juga milik Singapura. Empayar mana jadi titik rujukan terakhir, adakah Empayar British, Empayar Belanda, Empayar Portugis, Empayar Johor-Riau, Empayar Melaka, Empayar Srivijaya atau sebelum itu lagi.

Alasan jarak
Daratan yang paling dekat Pulau Batu Puteh / Pedra Branca ialah Johor, Malaysia. Jaraknya hanya 7 km. Sedangkan jarak dengan Singapura 22 batu nautika.
Terra Nullius
Terra Nullius ialah tempat tidak dituntut oleh negara berdaulat yang disahkan oleh kuasa Barat – “unclaimed by a sovereign state recognized by European powers”. Terra nullius. Singapura menyatakan Pulau Batu Puteh seluas padang bola sepak itu tidak berpenghuni, rakyat Malaysia tidak menghuni pulau itu sejak sekian lama. Oleh itu Singapura berhak menuntut pulau itu.
Sebaliknya Malaysia mendakwa pulau itu bukanlah terra nullius. [5]Ini kerana pulau itu menjadi tempat nelayan untuk berlindung apabila berhadapan dengan ribut kencang dan ancaman lanun . Malah perairannya menjadi kawasan penangkapan ikan yang strategi bagi Orang Laut di Pengerang dan Teluk Ramunia , Johor. Jika mereka tidak berlindung di Pulau Batu Puteh, bot nelayan akan hanyut ke Pulau Bintan, Indonesia untuk mendapatkan sebarang bantuan, tentunya lebih sukar.
Pada 1621 dalam carta ahli pelayaran China, Wubei Zhi mencatatkan saudagar China menamakan pulau ini sebagai ‘Pia Chiao’. Ini menunjukkan pulau ini penting dan bukanlah Terra Nullius.
Artikel 1843 ada menyatakan kegiatan lanun yang merujuk kepada Batu Puteh. Begitu juga peta 1928, jelas sekali dinamakan sebagai ‘Batu Puteh’.
Saiz pulau itu amat kecil untuk Malaysia menjalankan aktiviti bagi menyaingi aktiviti Singapura. Separuh dari pulau itu telah dipenuhi dengan rumah api dan kemudahan sampingan. Adakah Malaysia perlu membina sebuah lagi rumah api di situ sebagaimana kehendak Singapura?

Alasan Perjanjian Inggeris Belanda 1824
Empayar British melalui Syarikat Hindia Timur Inggeris yang diketuai oleh Stamford Raffles telah ‘membuka’ dan mendapatkan pulau Singapura dari Sultan Husain dari Kesultanan Johor pada 1819.
Apabila Perjanjian 1824 ditandatangani antara Empayar British dengan Belanda pada 17 Mac 1824, dengan jelas Singapura termasuk / tertakluk dalam Empayar British. Perjanjian Inggeris-Belanda pada 1824 hanya melibatkan pulau Singapura dan wilayah di selatan Selat Singapura. Great Britain dan Singapura tidak pernah menuntut kedaulatan ke atas tiga kawasan itu pada bila-bila masa sebelum tarikh penting berkaitan pertikaian sekarang (1980 bagi kes Pulau Batu Puteh dan 1993 bagi kes dua kawasan lain itu).
Pulau Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah (Middle Rocks) dan Terumbu Karang Selatan (South Ledge) serta pulau lain di sekitar Selat Singapura adalah sebahagian daripada Kesultanan Johor sebelum 1824.
Undang-undang dan amalan perjanjian yang diguna pakai oleh Singapura, penerbitan serta petanya dan kenyataan oleh pegawai-pegawai Singapura yang berpengetahuan, kesemuanya mengesahkan bahawa tiga tempat berkenaan bukan wilayah negara itu, tetapi ditadbir sebagai sebahagian daripada wilayah Singapura.

Perjanjian Crawfurd
Perjanjian Crawfurd atau Crawfurd Treaty ditandatangani pada 2 Ogos 1824 antara Great Britain dengan Kesultanan Johor. Melalui perjanjian ini, Kesultanan Johor menyerahkan pulau Singapura bersama-sama pulau-pulau dan batu-batu dalam lingkungan 10 batu sahaja kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris. Sedangkan Pulau Batu Puteh 25.5 batu nautika dari Singapura.

Surat Temenggung Johor
Pada 25 November 1844, surat kebenaran membina Rumah Api Horsburgh telah diberikan oleh Temenggung dan Sultan Johor. Pembinaan operasi rumah api dibenarkan ‘berdekatan dengan Titik Romania’ atau di mana-mana yang sesuai. Pulau Batu Puteh ini berdekatan dengan Titik Ramunia tersebut. Dana dari pihak swasta telah dikumpulkan sejak 1836 untuk membina rumah api itu.
Timbalan Perdana Menteri Singapura, Profesor Shunmugam Jayakumar yakin surat ini berada disimpan oleh kerajaan Johor atau waris Sultan Ali atau Temenggong berkenaan. Pihak arkib Singapura telah berusaha mengesannya tetapi tidak berjumpa.

Operasi Rumah api dari Singapura
Semua sistem rumah-rumah api ditadbir oleh Negeri-negeri Selat / Penempatan Selat iaitu di stesen Singapura, Melaka atau Pulau Pinang. Sejak 1912 Persekutuan Tanah Melayu turut menyumbang kos operasi rumah api apabila swasta enggan membiayai rumah-rumah api itu.
Rumah api yang lain termasuklah di Pulau Pisang, Pulau Undan, Cape Ricardo, Muka Head dan Pulau Rimau. Operasi dari Singapura tidak berubah dan diteruskan tanpa sebarang masalah.
Tentera Laut Malaya kemudian dinamakan Tentera Laut Diraja Malaysia bertanggungjawab terhadap Singapura sehingga 1975 apabila Singapura mempunyai tentera lautnya sendiri. Tentera Laut Diraja Malaysia terus beroperasi di pangkalan Woodland, Singapura sehingga 1980-an tanpa sebarang masalah. Woodland hanya diserahkan kepada Singapura pada 1997.
Sebelum dan selepas pembentukan tentera laut Singapura, pasukan British dan Malaysia berterusan mengawal perairan Selat Melaka, Laut China Selatan, termasuk Pulau Batu Puteh.
94,000 kapal melalui Selat Melaka pada 2004 dan akan meningkat kepada 141,000 buah pada 2020. Pada 16 November 1971, tiga negara yang intim iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura sepakat untuk menguruskan Selat Melaka.Anehnya kini Singapura agresif mengubah karakter dan penampilannya di Pulau Batu Puteh.
Pada 1969 Malaysia secara rasmi meminda wilayah pentadbiran daripada 3 kepada 12 batu nautika. Tentunya termasuk Pulau Batu Puteh. Tetapi Singapura tidak pula protes. Hanya sejak 1986, Singapura menghantar kapal tentera laut mengawasi Pulau Batu Puteh dan meronda 24 jam. Sebelum itu tidak ada rondaan 24 jam. Sejak itu nelayan Johor berada dalam bahaya, dihalau dan mungkin diancam dan ditembak jika ‘menceroboh’. Pihak Malaysia tidak mengambil pendekatan konfrontasi terhadapi situasi tegang itu. Kemudian Malaysia dapat tahun Singapura telah menempatkan peralatan komunikasi tentera sejak 1977 lagi.

Peta Malaysia 1979
Pada 20 Disember 1979, Kementerian Luar Malaysia menghantar telegram kepada semua Misi Asean tentang keputusan Malaysia untuk mengeluarkan peta baru. Peta baru tidak bermaksud tuntutan baru, tetapi hanya petunjuk mengenai hak Malaysia di perairan laut wilayah dan pelantar benua Melaysia berdasarkan perjanjian-perjanjian sedia ada dan perundangan antarabangsa. Malaysia telah memaklumkan peta Malaysia 1979 kepada 7 negara jiran iaitu Thailand, Vietnam, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina dan China. Semua 7 negara ini telah membantah kerana Malaysia cuba mengubah status quo.
Pada 21 Disember 1979, mesyuarat pertama antara Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian luar Malaysia dengan Pesuruhjaya Tinggi Singapura. Ketika itu tidak ada bantahan dari Singapura.
Pada 13 Mei 1980, Tun Hussein Onn selaku Perdana Menteri Malaysia ada memberi respond terhadap kenyataan Lee Kuan Yew berhubung dokumen yang disimpan oleh Singapura. Tetapi sehingga kini dokumen definitif itu tidak ditunjukkan di mahkamah.
Pada 14 Februari 1980, Singapura membuat bantahan rasmi menuntut Pulau Batu Puteh sebagai miliknya.Nota ini yang mencetuskan pertikaian. Tarikh kritikal ini penting dari sudut undang-undang sempadan. Selepas tarikh ini, Singapura tidak lagi bertindak normal berbanding fungsinya sebagai pengendali rumah api.
Singapura hanya menuntut Middle Rocks dan South Ledge hanya sejak 6 Februari 1993.

Surat Gabenor Butterworth
Surat Gabenor Butterworth yang dirujuk dalam Perjanjian Crawfurd tidak terdapat di mana-mana arkib Malaysia. Malangnya 1994 Singapura enggan membenarkan pihak Malaysia akses ke arkib di negara tersebut. Surat ini dirujuk sebagai ‘Letters of Native Rulers’.

Dokumen bertulis
Singapura tidak mengemukakan sebarang dokumen bertulis. Sebaliknya Malaysia mengemukakan 7 dokumen bertulis itu :
Surat dari Residen British di Singapura pada 10 Januari 1824 kepada pentadbiran di India mengenai jajahan Johor.
Perjanjian Crawfurd antara Syarikat Hindia Timur Inggeris dengan Sultan dan Temenggung Johor yang berlangsung pada 1824. Artikel II Perjanjian Crawfurd menyatakan Sultan dan Temenggong Johor menyerahkan kawasan berupa perairan, selat dan pulau-pulau terletak 10 batu dari pantai.
Surat Crawfurd bertarikh 3 Ogos 1824 yang mengiktiraf kedaulatan Johor ke atas pulau-pulau kecil dalam longkungan 10 batu dari Singapura.

Surat Crawfurd pada 1 Oktober 1824
Laporan Presgrave (Edward Presgrave) bertarikh 5 Disember 1828 mengenai kegiatan lanun di Selat Melaka serta sempadan empayar Johor termasuk di Pulau Batu Puteh
Peta tahun 1842 yang disediakan atas arahan kerajaan Belanda.

Rencana dalam Singapore Free Press pada 25 Mei 1843 menyebut Pulau Batu Puteh antara pulau dikaitkan dengan kegiatan lanun terletak di bawah kuasa kerajaan Johor.
Surat-surat antara Gabenor Butterworth dengan Sultan dan Temenggong Johor pada 1944 berhubung cadangan pembinaan rumah api di pulau-pulau di muara Laut China Selatan.
Berkongsi Selat Melaka dan Laut China Selatan
Sejak sekian lama Malaysia, Indonesia dan Singapura berkongsi air dan pengurusan di Selat Melaka dan Laut China Selatan. Secara geografi, dan sejarah kolonial British, Malaysia dan Singapura berkongsi dalam banyak perkara.
Perbicaraan
Malaysia dan Singapura setuju membawa kes ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa sejak tahun 2003.
Pada 6 Februari 2003 perjanjian khas ditandatangani oleh Malaysia dan Singapura di Putrajaya dan dikuatkuasakan pada 9 Mei 2003.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda mula membicarakan tuntutan terhadap pulau ini pada hari Selasa, 6 November 2007.
Singapura diberikan empat hari (6-9 November) untuk menggulung hujah lisan pusingan pertama, sementara Malaysia diberikan giliran pada 13-16 November 2007. Pusingan kedua oleh Singapura pada 19 dan 20 November dan Malaysia pada 22 dan 23 November 2007.
Usaha kerajaan negeri
Selama beberapa bulan Jabatan Agama Johor telahpun mengarahkan Masjid-Masjid seluruh negeri Johor mengadakan solat hajat setiap kali selepas solat fardu Jumaat untuk memohon supaya kemenangan dan keputusan mahakamah dalam pertindihan hak milik pulau tersebut akan menyebelahi kerajaan Malaysia.
Apa Nasib Iskandar Malaysia
Boleh dikatakan solat hajat tersebut kurang mendapat sambutan dari jemaah dan kariah masjid. Persoalannya kita sibuk dengan kedaulatan negara dalam isu pulau Batu Putih sedangkan tidak berapa lama lagi Iskandar Malaysia akan menjadi medan gadaian kerajaan Johor kepada Singapura secara besar-besar yang saiznya 2 kali ganda dari saiz Singapura sekarang.
Rakyat Malaysia akan dapat menyaksikan pengumuman keputusan tersebut yang disiarkan secara langsung melalui RTM1 dari The Hague, Belanda mulai pukul 4 hingga 6 petang.
Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) itu akan disampaikan oleh Naib Presiden ICJ yang juga Pemangku Presiden kes Tuntutan Bertindih ke atas Pulau Batu Putih, Hakim Awn Shawkat Al- Khasawneh.
Adalah dijangkakan akan berlaku beberapa perubahan termasuk dari segi sempadan perairan, pelantar benua dan Zon Ekonomi Eksklusif sekiranya keputusan itu memihak kepada Singapura.
Bagaimanapun, semua kedudukan itu hampir tidak terjejas langsung, malah kekal seperti sekarang jikalau keputusan itu berpihak kepada Malaysia.
Apapun kita mengharapkan yang terbaik, apapun keputusannya akan menjadi pengajaran kepada kita semua betapa pemimpin terdahulu dan kerajaan terlalu cuai dalam menjaga dan memelihara kedaulatan negara.

Sumber : Jundullah
Layari : http://pasjohorbahru.com/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *